CASABLANCA MENDUDUKI CARTA NO 1 SPOTIFY, JOOX MALAYS HITS, TOP MUSIC DAN CARTA DOMESTIC RIM TOP 10
Lagu nyanyian dua penyanyi muda, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin yang dilancarkan pada 4 Jun yang lalu terus menjadi siulan peminat dan pencinta muzik tanah air. Lagu Casablanca yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dan Bee Good Media terus mencetuskan fenomena tersendiri apabila dijadikan muzik latar bagi kebanyakan video yang dihasilkan pengguna laman sosial terutama di aplikasi TikTok dan Instagram.
Muzik video rasmi Casablanca ini dimuat naik di saluran YouTube Masyhur sudah mencecah lebih 5 juta tontonan dan dilayari mencecah lebih 2.5 juta di Spotify.
Tidak cukup dengan itu, lagu CASABLANCA mencipta sejarah apabila menjadi lagu pertama tempatan yang paling tular dengan menduduki tangga teratas carta SPOTIFY VIRAL 50 GLOBAL, SPOTIFY VIRAL 50 INDONESIA dan juga menduduki tempat ketiga belas SPOTIFY TOP 50 INDONESIA di penstriman muzik Spotify serta mendapat kedudukan tempat pertama di aplikasi JOOX Malay Hits. Manakala di aplikasi Apple Music Top 100, Casablanca menduduki tempat kedua.
Pengarah A&R & Pemasaran Universal Music Malaysia, Encik Hermond Cheng dan Pengarah Urusan BeeGood Music Encik Amir berkata, mereka berbangga dengan pencapaian yang diraih sekaligus menjadikan Universal Music Malaysia dan Bee Good Media sebagai syarikat rakaman pertama yang berada di tangga teratas carta ‘Spotify Viral’ di Indonesia.
Bagi Nuha, dia tidak menjangka lagu CASABLANCA mendapat tempat yang hebat dalam kalangan peminat di Indonesia.
“Perasaan saya sangat terkejut sebab tak jangka lagu CASABLANCA sudah sampai ke tahap ini, dan dalam masa sama saya teruja dengan projek yang akan datang. Pendek kata, terkejut, teruja dan sangat gembira.
Sementara itu, Naufal bersyukur dengan sambutan diberikan selain tidak pernah menjangka lagu CASABLANCA boleh mencetuskan fenomena luar biasa. Sejujurnya, saya sangat gembira dan teruja.
“Kami sudah buat yang terbaik, dan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Alhamdulillah tuhan beri kami rezeki yang tidak dijangka. Terima kasih Malaysia dan Indonesia,” katanya.