Drama Menarik TV 3 Mengisi Slot Lestary Di Bulan Julai 2022

Zara Zya, pelakon dan usahawan yang sangat terkenal dengan sikap peramah yang sering membuatkan orang di sekelilingnya terhibur dengan keletahnya. Lakonan beliau juga memikat hati peminat drama Melayu tanah air. Terbaharu di slot Lestary, saksikan lakonan mantap Zara Zya sebagai seorang gadis comel yang berkeyakinan tinggi sehingga menjadi rebutan dalam drama bersiri Honey-Moon! 

Munah (Zara Zya) atau nama glamornya Moon dan Ilham (Ben Amir) mempunyai perwatakan yang amat berbeza. Moon seorang gadis berbadan gempal yang kelakar, berkeyakinan tinggi dan banyak bercakap manakala Ilham seorang yang pendiam dan pemalu.  

Moon telah meminta izin ibu bapanya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut Heffa, kawan baiknya yang bekerja di sana. Ibu bapanya keberatan untuk melepaskan Moon kerana usianya yang masih muda.  Akhirnya, mereka bersetuju apabila Moon memberikan sebab mahu hidup berdikari. Keputusan Moon juga mengejutkan Jiman kerana gadis pujaannya akan berhijrah ke Kuala Lumpur. 

Ilham merupakan seorang perisik persendirian yang popular dalam kalangan kliennya. Moon dan Ilham bertembung ketika Ilham sedang mengintip pergerakan Datuk Zukri yang disyaki mempunyai skandal dengan perempuan lain. Ilham tergamam dan hampir jatuh pengsan kerana teman wanitanya, Darina merupakan skandal Datuk Zukri yang dicari. Dalam kekecohan itu, Moon sempat menyelamatkan Ilham tetapi Ilham terpaksa menghilangkan diri. Ilham tidak mahu identitinya terbongkar.  Moon yang tidak tahu tentang keadaan sebenar marah dengan sikap Ilham yang tidak beradab itu. 

Ilham ambil cuti pulang ke kampung kerana terlalu kecewa dengan Darina yang tidak setia dalam hubungan mereka. Sebelum ini, Ilham pernah putus tunang, dan kali ini cintanya dikhianati lagi. Apabila neneknya, Jariah bercadang mahu menjodohkannya dengan anak Haji Sapiee, Ilham sudah bersedia dan akan bersetuju dengan pilihan neneknya. Ilham juga yakin Allah sudah tentukan jodoh terbaik untuknya. 

Moon dan Ilham telah dijodohkan oleh keluarga mereka tanpa mengetahui siapakah tunangannya itu. Jiman belum berputus asa dan nekad mahu memenangi hati Moon. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton Honey-Moon menerusi slot Lestary, setiap Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam dan strim secara langsung di www.tonton.com.my

 Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat. 

CATEGORIES

COMMENTS

2.7k
Whatsapp40.8k