Tex Cycle Technology (M) Berhad (Tex Cycle) mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 42% kepada RM25.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 TK2026), berbanding RM17.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong oleh peningkatan permintaan bahagian pemulihan dan kitar semula serta sumbangan Meridian World Sdn. Bhd. (Meridian). Keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM2.7 juta, meningkat 1% tahun ke tahun, manakala untung bersih naik 2% kepada RM2.3 juta dengan pendapatan asas sesaham sebanyak 0.86 sen.
Secara segmen, bahagian pemulihan dan kitar semula kekal sebagai pemacu utama apabila merekodkan lonjakan pendapatan 58% kepada RM23.8 juta daripada RM15.1 juta sebelumnya. Pada masa yang sama, bahagian tenaga boleh diperbaharui terus menyumbang secara stabil menerusi loji Tarif Suapan (FiT) solar serta projek Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CREPPA).
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9B TK2026), hasil kumulatif Kumpulan meningkat hampir dua kali ganda atau 98% kepada RM69.9 juta daripada RM35.2 juta setahun lalu. Seiring itu, PBT melonjak 27% kepada RM10.9 juta manakala untung bersih naik 22% kepada RM8.9 juta. Berasaskan suku ke suku pula, pendapatan naik 4% daripada RM24.2 juta, namun PBT menyederhana 37% daripada RM4.3 juta susulan peningkatan kos jualan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass Anthony Francis berkata, prestasi tersebut mencerminkan pengembangan berterusan dalam penyelesaian pengurusan sisa terjadual. Walaupun berdepan peningkatan kos operasi, Kumpulan kekal komited memperkukuh kecekapan dan memaksimumkan sinergi antara anak syarikat demi memastikan pertumbuhan mampan.
Melangkah ke hadapan, Tex Cycle menumpukan usaha memperluas keupayaan rawatan sisa minyak dan gas di kemudahan Telok Gong serta memanfaatkan kepakaran Meridian bagi meneroka aliran sisa khusus seperti sisa elektronik. Sinergi strategik antara Tex Cycle (P2) Sdn. Bhd. dan Meridian dijangka mengukuhkan kedudukan Kumpulan untuk menguasai bahagian pasaran penyelesaian alam sekitar yang lebih besar.











Leave a Reply