Master Tec Catat Rekod Untung Bersih Suku Tahunan RM10.49 Juta pada S3 TK2026

Master Tec Group Berhad (Master Tec) melakar pencapaian cemerlang apabila merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) suku tahunan tertinggi sejak penyenaraiannya sebanyak RM10.49 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 TK2026), meningkat 27.46% berbanding RM8.23 juta pada suku sama tahun lalu.

Pertumbuhan untung bersih tersebut didorong oleh lonjakan hasil suku tahunan sebanyak 72.53% tahun ke tahun kepada RM199.85 juta daripada RM115.83 juta, sekali gus menghampiri paras RM200 juta. Berbanding suku sebelumnya, PAT Kumpulan turut berkembang 21.28% daripada RM8.65 juta manakala pendapatan naik 42.25% daripada RM140.50 juta.

Bagi suku dikaji, keuntungan kasar (GP) meningkat 75.64% kepada RM20.69 juta dengan margin keuntungan kasar (GPM) bertambah baik kepada 10.35% berbanding 10.17% setahun lalu. Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula melonjak 53.96% kepada RM14.01 juta, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 0.98 sen daripada 0.84 sen.

Prestasi memberangsangkan ini disokong oleh pertumbuhan pesat merentasi kesemua segmen perniagaan. Segmen pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM173.27 juta, naik 58.04% dipacu permintaan kabel bagi sektor infrastruktur, utiliti, tenaga boleh diperbaharui, pusat data dan perindustrian. Sementara itu, hasil segmen perdagangan melonjak kepada RM11.87 juta daripada RM1.02 juta, manakala segmen pendapatan kontrak menerusi Sediacom Sdn. Bhd. meningkat 184.47% kepada RM14.71 juta.

Secara kumulatif bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9B TK2026), Master Tec mencatatkan peningkatan hasil 48.34% kepada RM431.51 juta, dengan PAT berkembang 23.81% kepada RM24.39 juta berbanding RM19.70 juta sebelumnya.

Pengarah Urusan Master Tec, Dato’ Lau Kim San berkata, pencapaian rekod ini membuktikan kekuatan permintaan terhadap perniagaan pembuatan kabel teras syarikat serta sumbangan semakin bermakna daripada segmen perdagangan dan kontrak.

Setakat 30 September 2026, Master Tec mengekalkan buku pesanan tertunggak yang sihat bernilai RM221.1 juta bagi menyokong keterlihatan hasil, di samping komitmen modal berjumlah RM13.82 juta untuk jentera baharu dan sistem penyimpanan tenaga bateri. Setakat tahun kewangan ini juga, Kumpulan telah membayar dividen berjumlah RM20.30 juta kepada pemegang saham.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *