Citaglobal Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal New Energy Sdn. Bhd. (CGNE), telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB GENCO) dan TIZA AI Sdn. Bhd. (TIZA AI) bagi membangunkan penyelesaian bekalan elektrik khusus di luar grid untuk cadangan Taman Pusat Data AI di Gebeng, Kuantan.
Inisiatif berkapasiti sehingga 1,300 megawatt (MW) secara berfasa itu akan dibangunkan di atas tapak perindustrian seluas 247 ekar milik Citaglobal, susulan kelulusan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) kepada TIZA AI pada September lalu yang mensyaratkan penggunaan bekalan elektrik luar grid. Menerusi usaha sama yang dirancang, TNB GENCO akan menerajui aspek penjanaan kuasa, manakala CGNE menyumbangkan kepakaran tenaga boleh baharu serta sistem penyimpanan tenaga bateri tempatannya, MYBESS.
Penyelesaian tenaga bersepadu yang bakal merangkumi gabungan penjanaan berasaskan gas, solar fotovolta dan penyimpanan bateri itu akan diteliti menerusi kajian kebolehlaksanaan dalam tempoh setahun. Sementara itu, TIZA AI selaku penggerak projek kini giat berbincang dengan beberapa bakal pengendali hyperscaler dan rakan pembangunan bersama yang berminat untuk beroperasi di taman digital tersebut.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal serta TIZA AI, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria berkata, Pahang memiliki kelebihan strategik merangkumi keluasan tanah, sumber air serta sokongan logistik seperti Pelabuhan Kuantan dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk muncul sebagai destinasi pusat data AI utama negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Sri Ir. Ts. Shamsul Ahmad pula menegaskan kerjasama itu membuktikan kesiapsiagaan TNB menyediakan infrastruktur tenaga berdaya tahan seiring pertumbuhan ekonomi digital Malaysia. Bagi Citaglobal, penyertaan ini bukan sahaja mengoptimumkan aset tanahnya di Gebeng, malah membuka peluang pendapatan berulang jangka panjang daripada sektor bekalan elektrik pusat data.











Leave a Reply