Rakaman semula “Buat Insan Tersayang” popularkan Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa

 

Baru-baru ini, syarikat rakaman Nova Music tidak ketinggalan merakam semula lagu yang popular sebelum ini iaitu “Buat Insan Tersayang,” yang dinyanyikan oleh Ashira dan Eddie Hamid sebelum ini. Lagu Eddie Hamid yang diterbitkan pada tahun 2000 dirakam semula oleh penyanyi muda Ahmad Syafiq dan pendatang baharu Wawa Shazwa.

 

Ahmad Syafiq, 22, juga naib juara program ‘Lagu Cinta Kita’ musim kedua berkata, dia pada awalnya terkejut apabila mendapat tawaran untuk merakamkan semula lagu “Buat Insan Tersayang” itu.

Apatah lagi menurut Syafiq, dia tidak biasa mendengar lagu itu walaupun mengetahui sejarah lagu terbabit yang pernah mencipta fenomena satu ketika dahulu..

“Saya pada mulanya rasa terkejut dan takut sebab genre lagu ini berbeza sangat dengan lagu-lagu yang saya rakam sebelum ini. Lagu ini macam ada lenggok dangdut sikit. Tapi lagu ini sebenarnya balada dan sedih. Melalui versi terbaru ini, kami beri nafas baharu dengan susunan yang lagi rancak tapi ia masih lagu sedih.

“Dalam masa sama, saya berasa beruntung dipilih oleh abang Eddie Hamid sebab lagu ini dulu dikeluarkan pada tahun 2000, tahun kelahiran saya sendiri.

“Sejujurnya, dari kecil saya jarang sangat dengar lagu ini walaupun saya tahu kewujudannya. Saya tak pernah ambil tahu lagu ini sebab lagu ini meletup sewaktu saya kecil lagi dan tahun itu saya baru lahir. Jadi apabila diberi tugas dan peluang untuk menyanyikan semula lagu ini, saya rasa teruja. Lagu ini pula kena dengan saya yang berjiwa jiwang,” katanya.

Mengenai trend merakamkan semula lagu lama, Syafiq tidak menolak ia sesuatu yang berleluasa sekarang dan secara tak langsung mampu menonjolkan lagi namanya di persada muzik tanar air.

“Lagu lama dijadikan single baru sekarang ini memang sangat ‘trending’. Ia menjadi seakan satu ‘ombak’ dalam industri seni nyanyian ini. Boleh dikatakan ramai artis baharu macam Fieya Julia, Luqman Faiz, Amsyar Leee, Afieq Shazwan dan Tajul sudah buat. Tidak dinafikan, nama mereka semakin popular setelah menyanyikan semula lagu lama berkenaan.

 

Sementara itu, Wawa, 22, atau nama sebenarnya Nor Shazwa Atiqah Shamshul meluahkan rasa bertuah apabila dipilih menyanyikan lagu “Buat Insan Tersayang” yang pernah dipopularkan oleh Ashira dan Eddie Hamid.

“Perasaan saya apabila mendapat sebuah lagu lama yang dikeluarkan pada tahun 2000 iaitu tahun kelahiran saya dan terpilih untuk menyanyikan lagu ini sudah tentu satu perasaan bertuah.” Ini kerana sama ada generasi saya mahupun saya tidak pernah mendengar lagu-lagu lama sebegitu.

Terima kasih kepada Nova Music kerana memilih saya untuk menggalas tanggungjawab ini. Terima kasih juga kepada Abang Eddie Hamid kerana membantu sepanjang proses rakaman. Saya berharap lagu ini dapat diterima baik seperti mana ia pernah popular suatu ketika dahulu. Paling penting, saya dan Syafiq sudah memberikan yang terbaik dalam lagu ini dengan cara nyanyian kami tersendiri, katanya.

Video muzik rasmi lagu “Buat Insan Tersayang” yang dirakam di Desaru, Johor Bahru baru dimuatnaik ke saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 5hb. Ogos 2022 yang lalu.

 

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k