SINGLE ‘LARI – LARI’ DINDA DANIA TERBAHARU DARI ROCKETFUEL ENTERTAINMENT
Dinda Dania, penyanyi wanita muda yang menakjubkan, telah lama diiktiraf kerana kehebatan vokalnya; kemenangannya dalam pertandingan nyanyian realiti Ceria Popstar Xtra sudah memadai untuk memastikan statusnya sebagai vokalis sandaran terulung dalam industri.
Kini, Dania hadir menceriakan industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul ‘LARI-LARI’ yang dicipta oleh barisan komposer terkemuka negara, Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan juga John Jeeves, dan diterbitkan oleh jenama peneraju bidang hiburan tanah air, Rocketfuel Entertainment.
“Pengorbanan saya dalam bidang seni ternyata bukan sia-sia lagi apabila kini bergelar penyanyi sekaligus tampil dengan lagu sendiri, ibarat mimpi menjadi kenyataan, saya rasa sangat terharu dengan peluang yang diberikan oleh pihak Rocketfuel terutamanya,” jelas pemilik nama sebenar Dania Zafirah Sulaiman, 18 tahun.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini sememangnya meminati bidang nyanyian sedari kecil lagi, Dinda mula mencari rezeki ketika berusia 13 tahun dengan ‘busking’ di beberapa tempat di sekitar ibukota dan dari situlah bakatnya mula diasah dan pengalamannya ditimba, katanya, “Saya mula menyanyi seawal umur 4 tahun, kemudian di usia 10 tahun saya rajin menyertai banyak pertandingan nyanyian di antaranya Bintang Kecil RTM 2016, Ceria Online Star 2020, Ceria Popstar 2021 dan yang terakhir adalah Ceria Popstar Xtra 2022 dimana saya dinobatkan menjadi juara lantas dilamar oleh pihak Rocketfuel untuk menjadi artis di bawah label mereka.
“Pihak Rocketfuel yang menentukan lagu pengenalan saya kerana mereka lebih arif apa yang sesuai dengan saya untuk ‘kick-off’ single pertama, selain mengambil kira trend lagu sekarang, LARI-LARI mengisahkan tentang seorang wanita yang terkejar-kejarkan cinta seorang lelaki namun dibayangi perasaan cemburu kerana lelaki yang disukainya sering dikelilingi oleh wanita-wanita lain, lalu wanita tersebut memendam perasaan cinta yang tidak kesampaian.
Single pop ini bernuansa EDM (Electronic Dance Music) yang moden sesuai dengan halwa telinga pendengar zaman sekarang mengambil masa selama 2 hari sahaja untuk dirakamkan, namun video muzik (MV) masih lagi dalam perancangan dan hanya lirik video sahaja yang diriliskan terlebih dahulu.
Menurut Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment, “Dinda adalah di antara penyanyi pelapis tanah air yang patut diberi perhatian, bakatnya dalam bidang nyanyian sememangnya terserlah dan tidak perlu diragui lagi kerana telah memenangi beberapa pertandingan nyanyian sebelum ini.
“Saya berharap lagu LARI-LARI nyanyian Dinda mendapat perhatian dan menyerlahkan lagi bakat semula jadi yang dimilikinya, semoga Dinda terus sukses dan maju dalam industri hiburan negara kita.
Kata Dinda penuh pengharapan: “Semoga peminat yang sudah mengenali saya sukakan lagu LARI-LARI ini dan terus memberikan sokongan terhadap perjalanan seni saya, serta jangan lupa untuk mendengar dan ‘download’ di kesemua ‘digital platform’!
Lagu ‘LARI-LARI’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala lirik video ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.